JULAI 2024

Kerjasama Petros, Petronas Berlandas Undang-Undang - Abang Johari


KUCHING: Sarawak tidak berniat merampas hak Petrolium Nasional Berhad (PETRONAS) dalam industri gas dan minyak sebaliknya hanya mahu turut serta, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, langkah Kerajaan Sarawak menubuhkan Petrolium Sarawak Bhd (PETROS) semata-mata mahu turut serta dalam industri terbabit untuk kesejahteraan negara.

“PETROS dan PETRONAS akan menjadi rakan kongsi dalam industri terbabit serta bekerjasama berdasarkan undang-undang,” katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Vendor Minyak dan Gas Sarawak (OGSE) anjuran PETRONAS di sini, hari ini.

Beliau berkata, jalinan kerjasama erat antara PETROS dan PETRONAS akan membantu menggerakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut Premier Sarawak, penyertaan PETROS dalam industri minyak dan gas itu mengikut undang-undang. Malah, PETROS bekerjasama dengan PETRONAS dalam suasana harmoni dan tidak melanggar undang-undang.

“PETROS dan PETRONAS boleh dianggap sebagai adik-beradik dan kita akan bersama-sama berusaha menangani perubahan iklim dengan mengusahakan tenaga alternatif menggantikan bahan bakar fosil,” tegas beiiau.

Abang Johari menegaskan, dengan kerjasama PETRONAS, SEDC Energy kini berjaya mengurangkan penggunaan elektrik daripada 60 kwh kepada 30 kwh untuk menghasilkan hidrogen di Demak Laut.

Beliau percaya penggunaan tenaga elektrik untuk menghasilkan hidrogen akan dapat dikurangkan lagi dan satu prospek yang boleh diterokai bersama ialah dalam penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

Beliau percaya dengan penggunaan teknologi, PETROS dan PETRONAS mampu mengubah ‘gas masam menjadi gas manis’ dan PETROS berharap lebih banyak lagi vendor gas dan minyak akan wujud.

Pada majlis itu,  46 vendor PETRONAS menerima penghargaan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawoli dan Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM) Datuk Bacho Pilong.